Pecah Bahagian Tanah Jika Pemilik Bersama Tak Setuju


BAGAIMANA NAK BUAT PECAH BAHAGIAN JIKA PEMILIK BERSAMA TAK SETUJU, MENINGGAL DUNIA ATAU TAK DAPAT DIKESAN?

Antara masalah yang biasa timbul apabila seseorang pemilik bersama tanah pertanian geran kongsi ingin membuat pecah bahagian tanah tersebut adalah tiadanya persetujuan daripada kesemua pemilik bersama yang lain.

Atau kadang-kadang ada juga pemilik bersama tersebut yang dah meninggal dunia.

Atau kerap juga berlaku pemilik bersama itu tidak dikenali atau tak dapat dikesan.

Sekiranya berlaku keadaan-keadaan di atas, apakah yang patut dilakukan jika kita nak buat pecah bahagian tanah tersebut?

Baik, ini jawapannya:

1. Sebenarnya S.141A Kanun Tanah Negara membenarkan mana-mana pemilik bersama sesuatu tanah pertanian geran kongsi pemilikan bersama memohon untuk kelulusan pecah bahagian, walaupun pemilik-pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagian atau terdapat pemilik bersama yang tidak dapat dikesan atau  sebagainya.

2. Caranya adalah failkan sahaja permohonan pecah bahagian tersebut di Pejabat Tanah. Sebaik sahaja menerima permohonan pecah bahagian tadi, pentadbir tanah akan menghantar notis kepada kesemua pemilik bersama yang lain ke alamat terakhir yang diketahui untuk memaklumkan tentang cadangan pecah bahagian oleh salah seorang pemilik bersama tersebut.

3. Pemilik bersama yang lain dikehendaki mengemukakan apa-apa bantahan secara bertulis dalam tempoh 28 hari  daripada tarikh penyampaian  notis tersebut sekiranya tidak bersetuju dengan permohonan pecah bahagian salah seorang pemilik bersama tadi.

4. Setelah habis tempoh 28 hari tersebut, sekiranya terdapat bantahan daripada pemilik-pemilik bersama yang lain, Pentadbir Tanah boleh membuat keputusan untuk menolak permohonan pecah bahagian tersebut sekiranya beliau berpuas hati dengan alasan-alasan bantahan yang dikemukakan.

5. Tetapi sekiranya tiada bantahan, Pentadbir Tanah boleh meluluskan permohonan pecah bahagian tersebut.

6. Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, segala kos untuk urusan pecah bahagian hendaklah ditanggung oleh pemohon itu sendiri.

7. Sekiranya pemohon  tersebut tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Pentadbir Tanah, mereka boleh memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mengarahkan permohonan pecah bahagia tersebut diluluskan.

8. Mahkamah juga boleh mengarahkan bahagian yang tidak dipecah bahagi tersebut di pindah milik kepada pemilik bersama atau mengarahkannya dijual.

9. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah akan mengikat  Pentadbir Tanah untuk melaksanakannya di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara.

10. Bagaimana pula jika penama dalam geran tersebut telah meninggal dunia?

11. Waris waris kepada penama yang meninggal dunia tersebut perlulah terlebih dahulu uruskan urusan pusaka bahagian simati untuk membolehkan bahagian tersebut diturun milik kepada nama waris-waris penama tersebut.

12. Selepas nama waris-waris tersebut ada di dalam geran barulah boleh diuruskan urusan pecah bahagian tersebut.

13. Ini kerana jika tidak dilakukan urusan pusaka tersebut, pentadbir tanah tidak dapat untuk menyerahkan notis dengan sempurna. Dan ini akan mengganggu serta melewatkan prosedur permohonan pecah bahagian.

14. Bagaimana jika waris-waris tak nak uruskan urusan pusaka? 

15. Pemilik yang ingin buat pecah bahagian tersebut boleh dapatkan perintah mahkamah untuk arahkan waris-waris simati menyempurnakan urusan pusaka tersebut. Jika masih enggan, boleh failkan perintah komital terhadap waris-waris simati tadi kerana ingkar perintah mahkamah dan mereka boleh ditangkap dan dipenjara.

16.  Bagaimana kalau penama tersebut tidak dapat dikesan?

17. Pemilik yang ingin membuat pecah bahagian perlulah melakukan segala usaha yang munasabah untuk mengesan penama tersebut misalnya mengesan melalui jiran tetangga atau penduduk kampung.

18. Sekiranya masih tidak dapat dikesan boleh lantik peguam untuk lakukan carian kad pengenalan di Pejabat Pendaftaran untuk mengetahui alamat terkini beliau.

19. Jika masih tidak berjumpa boleh iklankan secara rasmi dalam akhbar. Satu tempoh masa yang munasabah diberikan, misalnya selama 12 bulan untuk penama yang tidak dapat dikesan itu tampil berhubung dengan peguam.

20. Jika masih gagal juga dikesan, boleh minta peguam failkan permohonan anggapan kematian di mahkamah. Sekiranya dapat dibuktikan bahawa segala usaha telah dilakukan untuk mengesan penama tersebut tetapi masih gagal dan dipercayai penama tersebut telah meninggal dunia maka perintah anggapan kematian akan dikeluarkan.

21. Dengan perintah anggapan kematian tersebut pentadbir tanah boleh membenarkan permohonan pecah bahagian tersebut.

Sekian, terima kasih,

Sumber FB
SALKUKHAIRI ABD SUKOR 
Timbalan Presiden
K-LITERASI

Comments

Popular posts from this blog

Cara Pengiraan Bilangan Bata Dan Simen

Sejarah Motosikal Modenas Kriss

CERITA LAWAK: 3 Sekawan